Bendera Malaysia pada asalnya ialah bendera Persekutuan Tanah Melayu
yang mula digunakan dengan rasminya pada 26 Mei 1950. Bendera ini telah
diilhamkan melalui satu pertandingan khas mencipta bendera Persekutuan
Tanah Melayu.
Hasil ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor, Mohamad Hamzah telah terpilih tetapi dibuat beberapa perubahan pada reka bentuk asalnya. Antara perubahan yang dibuat ialah menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, bendera tersebut telah diubah suai sewajarnya menjadi bendera Malaysia.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu Semasa Dikibarkan di Bangunan United Nation
Hanya pada tahun 1995 barulah ada suatu inisiatif untuk memberi nama khas atau nama rasmi kepadanya. Idea menamakan bendera negara adalah ilham Datuk Hashim Mat Dris, seorang bekas pegawai kerajaan yang dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri.
Menurut beliau, setelah 45 tahun bendera negara berkibar dengan megah tetapi tanpa satu nama yang boleh dibanggakan, sudah tiba masanya bendera Malaysia diberi satu nama rasmi. Nama ini patut diberikan sebagaimana bendera-bendera negara tertentu memilikinya seperti bendera kebangsaan Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union Jack, Amerika Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.
Hashim berpendapat nama yang sesuai untuk bendera negara ialah ‘Si Tuah’ sempena nama Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan setia kepada raja.
Cadangan Hashim itu kemudiannya dibawa kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih nama yang sesuai untuk bendera Malaysia.
Penyertaan bagi peraduan tersebut dihadkan kepada pihak-pihak tertentu sahaja iaitu kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan. Berikutan itu, Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta
nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama
bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai
dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli
jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi
yang berkaitan.
Ini turut dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu. Berikutan itu, nama jawatankuasa ditukar kepada Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya. Setelah penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Bagaimanapun, apabila dikemukakan untuk mendapat persetujuan jemaah
menteri pada 11 September 1996, nama-nama tersebut gagal memikat hati
ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia tidak
benar-benar melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera
Malaysia itu sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, jemaah menteri telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’. Perisytiharan Jalur Gemilang sebagai nama bendera Malaysia telah dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semasa acara Di Ambang Merdeka sempena perayaan Hari Kebangsaan Malaysia pada 30 Ogos 1997, jam 11.58 malam.
Pada tahun 2007 ini genaplah 10 tahun nama “Jalur Gemilang” tersemat
pada bendera Malaysia. Nama tersebut telah dicadangkan oleh Jabatan
Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
(sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).
Secara ringkasnya, perkataan ‘jalur’ dalam nama Jalur Gemilang melambangkan jalur pada bendera yang menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju serta arah yang sama yang diikuti oleh rakyat negara ini manakala ‘gemilang’ pula melambangkan keadaan yang bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.
Oleh itu, Jalur Gemilang adalah lambang aspirasi rakyat Malaysia dalam mengharungi kemajuan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi membina sebuah negara yang cemerlang gemilang dan terbilang.
No comments:
Post a Comment