SELAMAT DATANG..... WELCOME..... AHLAN WA SAHLAN ..... 欢迎光临..... வரவேற்பு..... BIENVENUE..... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE BLOG KAMI

Thursday, 30 May 2013

ULAT MULONG @ ULAT SAGU



Sarawak sememangnya kaya dengan kepelbagaian makanan, malah tidak keterlaluan jika Bumi Kenyalang dianggap sebagai syurga kepada penggemar makanan eksotik. Salah satu daripadanya ialah ulat mulong yang dipanggil si'et dalam bahasa Melanau atau tinduh dalam bahasa Iban.
Ia sebenarnya adalah larva kumbang yang bersarang di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput.

Ulat mulong terutama yang gemuk berlemak boleh dinikmati menerusi pelbagai jenis masakan sama ada digoreng bersama kicap, disalai, dibuat sup ataupun dijadikan sate.

Bagi penggemar tegar pula, ada yang memakan ulat mulong secara hidup-hidup yang dicicah dengan garam halus atau dimakan bersama sagu. Ia diminati ramai, baik di kalangan masyarakat bumiputera, Cina mahupun pelancong asing kerana rasanya yang lemak.

Walaupun tiada kajian saintifik, ulat mulong dikatakan mempunyai beberapa khasiat termasuk dapat mengurangkan masalah kegemukan manakala minyaknya pula berkhasiat untuk melebatkan rambut. Kegilaan terhadap ulat mulong menjadikannya sebagai makanan yang mempunyai nilai komersial sekali gus menjadi sumber pendapatan lumayan kepada pembekal dan penjualnya.

Seorang pembekal, Siah Achoi, 49, berkata, seekor ulat mulong matang gred A iaitu yang bersaiz besar boleh dijual dengan harga antara 40 hingga 50 sen seekor. Katanya, ulat mulong gred A biasanya bersarang pada bahagian pangkal dan pertengahan pokok rumbia manakala ulat yang mendiami bahagian yang tinggi pula diklasifikasikan sebagai gred B kerana saiznya lebih kecil dan belum matang.

"Hanya pokok rumbia yang subur didiami ulat mulong yang banyak, sekurang-kurangnya 500 ekor bagi setiap batang. "Untuk memastikan lebih banyak ulat mulong yang terdapat di dalam batang pokok rumbia dapat dikeluarkan, kita perlu mengetuk batang rumbia terlebih dahulu sebelum mengoreknya," katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu ditemui di Pasar Tamu Bintulu baru-baru ini.
Siah Achoi sudah 30 tahun menjadi pembekal ulat mulong di Sarawak.


Siah yang sudah 30 tahun menjadi pembekal ulat mulong berkata, tidak sukar untuk mendapatkan makanan eksotik itu kerana habitatnya iaitu pokok rumbia hidup subur di Kuala Segan, Kemana, kira-kira 10 kilometer dari Bintulu.

"Setiap bulan saya menebang sekurang-kurangnya tiga batang pokok rumbia dan dibiarkan reput untuk kumbang bertelur serta ulat mulong yang diperoleh akan dibekalkan terus kepada penjual di Pasar Tamu Bintulu," kata Siah yang dibantu anaknya, Jimbun Aji, 22, sejak enam tahun lalu.

Seorang lagi penjual ulat mulong, Mas Jamal, 49, dari Sungai Sebiew berkata, ulat mulong sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat.Katanya, pada  minggu dia akan menebang pokok rumbia dan menjual sendiri larva kumbang gred A dengan harga RM10 bagi setiap 35 ekor dan 45 ekor (gred B).

Tambahnya lagi, pokok rumbia yang ditebang biasanya dibiarkan mereput selama enam minggu bagi memberi peluang kepada kumbang rumbia membiakkan ulat mulong.

"Setakat ini saya gembira kerana hasil jualan ulat mulong mampu menampung keperluan harian dengan jumlah pendapatan sekitar RM400 hingga RM500 seminggu," katanya yang sudah enam tahun menjual makanan eksotik itu.

Seorang lagi penjual, Ansak Inggi, 55, dari Binyu berkata, selain dijadikan hidangan, ada yang membeli ulat mulong untuk dijadikan makanan binatang peliharaan.

"Ada juga pelanggan membeli ulat mulong untuk diberikan kepada ikan peliharaan dan kokgo iaitu sejenis cicak Borneo yang kini sedang hangat di pasaran kerana dikatakan mempunyai khasiat perubatan," kata Ansak. Dia yang sudah 10 tahun menjual ulat mulong berkata, setiap hari keuntungan yang diraih adalah sekitar RM100.

Seorang penggemar ulat mulong, Jacqueline Siyu, 36, berkata, larva itu mempunyai rasa seperti udang tetapi ia lebih manis dengan bau yang agak kuat.

"Cara penyediaan ulat mulong kini sudah dipelbagaikan dan rasanya bergantung kepada cara ia dimasak.

"Kebanyakan orang suka ulat mulong digoreng dan disalai kerana ia membangkitkan rasa lemak dan manis," katanya yang amat menggemari sate ulat mulong.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?

No comments:

Post a Comment